Noor Hidayah Tanzizi


MAHKAMAH Majistret Seri Manjung hari ini, melanjutkan tempoh reman dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh dua anggota pasukan itu di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan pada 29 September lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid yang membenarkan kedua-dua lelaki terbabit dilanjutkan reman bermula esok sehingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 31 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tempoh reman terhadap mereka tamat hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah, 8.50 pagi, hari ini menaiki van polis sebelum keluar pada 9.20 pagi menaiki kenderaan sama.

Dalam kejadian 29 September lalu, dua anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera.

Selain itu, dua anggota lain masing-masing berusia 30 tahun juga cedera dipercayai didera di pusat tahanan sama dan kini dirawat di 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Sehingga kini, polis sudah menahan tujuh orang kesemuanya bertugas sebagai pengawal bilik tahanan, dengan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pasukan itu.

Manakala dua lagi suspek berusia 29 dan 37 tahun ditahan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan.

Semalam, reman tiga suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dilanjutkan tujuh hari lagi bermula hari ini.

Berita berkaitan

Reman dua anggota TLDM disambung [METROTV]

Bunuh anggota TLDM, 35 saksi dirakam percakapan

Polis ambil keterangan 7 lagi anggota, pegawai TLDM

Semak semula SOP

2 lagi anggota TLDM dilapor cedera

Mahu keadilan demi cucu

Sihat sebelum masuk bilik tahanan

Reman tujuh hari

Anggota TLDM meninggal disiasat kes bunuh

Kecederaan dalaman juga

Tiba-tiba minta maaf

Isteri kata ada unsur jenayah

Eqiey kata nak berhenti kerja

Tunggu keputusan bedah siasat

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Anggota TLDM maut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 11:16 AM
DUA anggota TLDM diiring ke Mahkamah Majistret Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi