ANTARA peralatan digunakan untuk kegiatan curi tayar simpanan yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
Fardy Bungga


SEKUMPULAN tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang aktif mencuri tayar simpanan kenderaan pacuan empat roda di sekitar bandaraya Kota Kinabalu sejak Julai lalu, dicekup polis, semalam.

Kegiatan kumpulan itu dihidu pihak berkuasa selepas tindakan mereka mencuri dua tayar simpanan milik sebuah jabatan kerajaan, Jumaat lalu membawa kepada penahanan mereka pada 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu ditahan di sekitar Manggatal, di sini, hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, hasil soal siasat, semua mengaku mencuri tayar simpanan dua kereta milik Jabatan Tanah Dan Ukur Kota Kinabalu.

"Siasat lanjut juga mendapati semua suspek mengaku terbabit dalam beberapa lagi siri kes jenayah curi komponen kenderaan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan bergiat aktif dalam jenayah ini sejak Julai sehingga kini.

"Sasaran utama kumpulan suspek ini adalah kenderaan jenis pacuan empat roda yang ditinggalkan di kawasan tempat letak kenderaan," katanya.

Menurutnya, polis merampas 10 tayar dan lima rim kereta yang disyaki hasil kegiatan curi kumpulan suspek terbabit di sebuah lokasi penyimpanan barang curi di kawasan Telipok Ria, Tuaran.

Selain itu katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan Perodua Myvi bersama peralatan yang diubahsuai dipercayai untuk kegunaan kegiatan kumpulan suspek itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan dan hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek turut didapati positif.

"Dua suspek yang juga warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah manakala seorang lagi suspek warga asing berusia 20 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Chandra berkata, siasatan mendapati kumpulan ini dipercayai terbabit sekurang-kurangnya tujuh kes membabitkan kejadian curi tayar simpanan kenderaan pacuan empat roda di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:04 PM