Mohd Firdaus Hassan, 24, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. - Foto MUHAMAAD RAZIS
Muhamaad Razis Ismail


PENIAGA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, bagi menghadapi tuduhan merompak seorang buruh dengan pistol tiruan dan memiliki senjata itu bulan lalu.

Tertuduh Mohd Firdaus Hassan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas merompak Mohd Faiz Dollah, 27, secara berkumpulan menggunakan pistol tiruan dengan mengambil motosikal Honda Ex5 Dream dan dompet milik mangsa di depan kedai serbaneka jam di Kubang Kerian pada 3.45 pagi, 2 September 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa memiliki pistol tiruan tanpa kebenaran di sebuah kedai makan di Tunjung, Jalan Kuala Krai di sini, pada 7.30 malam, 13 September 2017.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad tidak menawarkan jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak mengemukakan sebarang rayuan dan mahkamah yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 3:46 PM