PELANGGAN menunjukkan laporan polis serta bukti pembayaran yang dibuat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


EMPAT pelanggan syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi di Perak mendesak syarikat itu mengotakan janji memulangkan wang pembayaran selepas mendakwa ia masih gagal berbuat demikian sehingga kini.

Julia Ahmad, 31, kakak kepada seorang bakal pengantin yang mendakwa tidak menerima wang pembayaran itu berkata, mereka sekeluarga membayar RM16,400 untuk majlis resepsi di kedua-dua belah pihak, termasuk duit pengangkutan seperti diminta pihak butik terbabit.

"Adik lelaki saya mengambil pakej RM10,000 untuk kedua-dua majlis namun dikurangkan kepada RM8,000 untuk satu pakej kerana mengurangkan jumlah tetamu.

“Bayaran penuh sudah dibayar termasuk RM400 caj pengangkutan ke majlis yang bakal berlangsung pada 16 dan 17 Disember ini di Kampung Changkat Jering, Taiping," katanya ketika ditemui di Seri Manjung, hari ini.

Julia berkata, selepas kes membabitkan butik itu tular, mereka mengambil keputusan meneruskan pakej itu untuk pihak lelaki dan menuntut ganti rugi bagi pihak perempuan sebanyak RM8,000 seperti dijanjikan pihak terbabit.

"Pihak itu mendakwa mereka masih boleh meneruskan pakej namun tidak termasuk katering dan tidak menghalang jika kami tidak mahu.

“Kami terima kerana yakin dia akan menunaikan janjinya.

"Namun sehingga kini semuanya hanya tinggal janji, justeru saya sangat berharap duit itu dapat dikembalikan," katanya yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Taiping.

Sementara itu, bakal pengantin Nazirah Azman, 25, pula berkata, dia berharap pihak butik berkenaan mengembalikan wang pelanggan seperti dijanjikan.

“Siapa tidak gembira ada pakej RM10,000 kerana menjimatkan perbelanjaan namun tak sangka jadi seperti ini. Butik di sini sudah tutup, talian telefon tak dapat dihubungi dan butik di Shah Alam juga tutup ketika saya ke sana semalam.

"Saya sudah membuat pembayaran penuh RM10,000 dan pembayaran balik yang dijanjikan sejak bulan lalu, belum dapat," katanya yang bakal berkahwin Januari tahun hadapan.

Bulan lalu, pemilik syarikat perancang perkahwinan berkenaan menyatakan akan membayar ganti rugi kepada pelanggan yang tidak mendapat perkhidmatan memuaskan namun sehingga kini pelanggan mendakwa ganti rugi itu masih belum diterima.

Berita berkaitan:

Sila bayar penuh ya - Pelanggan

Ingin bayar secara berkala

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 5:16 PM