MANGSA diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke HUS. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke HUS. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Rizal Abdullah


TANPA menyedari tiang bendera tersentuh dawai elektrik, seorang lelaki warga Indonesia melecur di tangan dan badan akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kedai makan di Batu 17, Siburan, di sini pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai, Harkaulanus, 20, cuba memasang bendera Malaysia di premis berkenaan, kira-kira 9 pagi sebelum terkena renjatan elektrik.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mangsa juga bernasib baik kerana seorang doktor kebetulan berada di kawasan itu dan memberi bantuan kecemasan awal.

Menurutnya, doktor berkenaan menyapu krim untuk merawat lecur pada badan mangsa bagi meredakan kesan kesakitan terhadap lelaki itu.

“€œKami menerima panggilan kecemasan pada 9.20 pagi berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dikerahkan ke lokasi.

“€œSetibanya ke lokasi, mangsa dalam keadaan terlentang dan hanya mengadu badannya terasa sakit,” katanya.€

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila terdapat masalah pendawaian wayar elektrik berdekatan tiang bendera berkenaan sekali gus mengakibatkan renjatan pada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 8:55 PM