Kerja kerja mencantas dahan pokok di Batu Rakit sedang dilakukan oleh MBKT dan MDS. - Foto BAHAROM BAKAR.
Kerja kerja mencantas dahan pokok di Batu Rakit sedang dilakukan oleh MBKT dan MDS. - Foto BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


KERAJAAN negeri Terengganu meluluskan peruntukan segera RM50,000 untuk kerja mencantas dahan pokok yang boleh mengundang bahaya di sekitar Batu Rakit di Kuala Nerus.

Kerja mencantas dahan pokok di sepanjang jalan sejauh kira-kira dua kilometer bermula dari Kampung Mengabang Lekor ke simpang tiga Pengkalan Atap dijangka mengambil masa sebulan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Zulkifli Abu Bakar berkata, semua dahan pokok yang menghala ke jalan raya dan kediaman penduduk akan dicantas.

Menurutnya, dahan pokok yang ditanam sejak 17 tahun lalu itu, perlu dicantas kerana ada yang keadaannya reput di bahagian dalam.

“Kerja mencantas dahan oleh petugas MBKT dan Majlis Daerah Setiu (MDS) dijangka mengambil masa sebulan berikutan keadaan pokok yang tinggi dan berdahan besar.

"Pengguna jalan raya diminta dapat berhati-hati dan sebaiknya menggunakan laluan alternatif,” katanya selepas memantau kerja mencantas dahan pokok di Kampung Mengabang Lekor, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti pokok besar, terutama di bahu jalan serta melakukan kerja mencantas dahan pokok yang boleh menbahayakan pengguna.

Kerajaan negeri mengambil tindakan itu susulan kejadian dahan pokok patah dan menimpa dua kenderaan di Kampung Mengabang Lekor Sabtu lalu, menyebabkan dua maut, termasuk seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (SBPIBR).

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Muhammad Zulfahmi Abd Halim, 17, dan pemandu van SBPIBR, Mohd Amin Ibrahim, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi pelajar SBPIBR, Muhammad Zul Afkar Fauzi, 17, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bersama pemandu Perodua Kancil, Norliza Mat Hasan berusia 40-an dan anaknya, Nor Zafirah Bazardi, 20-an.

Zulkifli berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama polis akan menempatkan anggota untuk mengawal lalu lintas serta memasang papan tanda penunjuk arah bagi memudahkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:36 PM