Amin didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor pada keretanya tanpa tauliah. FOTO Yazit Razali
Amin didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor pada keretanya tanpa tauliah. FOTO Yazit Razali
Murni Wan Omar


AHLI perniagaan, Amin Alli, 56, dikenakan hukuman denda RM400 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas kesalahan mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor pada keretanya tanpa tauliah.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid.

Jika gagal bayar, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara empat hari.

Amin didakwa menggunakan lambang itu pada Porsche Cayenna S bernombor pendaftaran LF955 miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Hotel Concorde pada 28 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(1)(a) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Terhadap Pameran) 1949 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Amin dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak mengetahui perbuatan yang dilakukannya itu salah.

Noorelynna bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:10 PM