DATUK Mohd Razali Hussain (kiri) bersama Pengarah Politeknik Seberang Perai, Zulkifli Ariffin (dua dari kiri) mengucapkan tahniah kepada graduan terbaik, Muhammad Hazwan Mohd Ariff (kanan) dan Siti Adayu Nasharidan. FOTO Ramdzan Masiam
Muhammad Shalaby Shahbuddin


“KALAU tidak susah sekarang, tidak akan senang pada masa hadapan," kata penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum Peringkat Politeknik dalam Majlis Konvokesyen ke-17 Politeknik Seberang Perai (PSP), Permatang Pauh, hari ini.

Siti Adayu Nasharidan, 22, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia tidak menyangka berjaya menerima anugerah itu yang amat diimpikannya sejak kali pertama melangkah masuk ke PSP, empat tahun lalu.

Menurutnya, sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga dan kehidupan agak sederhana, dia nekad untuk menyarung selendang anugerah terbabit.

"Kini segala niat saya untuk berjaya semasa mula-mula menjejakkan kaki ke PSP ternyata menjadi kenyataan berkat dorongan dan sokongan ibu bapa saya.

"Saya bercita-cita menjadi pensyarah atau ahli perniagaan dan turut memasang niat menghantar kedua ibu bapa menunaikan umrah atau haji sebelum mencecah 30 tahun," katanya yang juga anak keempat daripada lima beradik dan memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.79 bagi sesi Jun 2016 dalam Diploma KejuruteranMekanikal (Tekstil Industri).

Majlis konvokesyen berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Mohd Razali Hussain di Dewan Seri Mutiara PSP, hari ini.

Sementara itu, Anugerah Khas diberikan kepada Allahyarham Yunus Ahmed Fauzi yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan pada 23 Januari.

Berikutan itu, anugerah berkenaan diterima ibu bapanya selepas arwah yang menuntut di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Program Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) sesi Jun 2016 memperoleh HPNM 3.72.

Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum Peringkat Politeknik bagi sesi Disember 2016, Muhammad Hazwan Mohd Ariff, 21, berkata, dia kini menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, moto hidup berusaha, berdoa dan tawakal menjadi kunci kejayaan buatnya, sekali gus menjadi contoh kepada adik beradik lain dan dia memperoleh HPNM 3.71 bagi sesi Disember 2016 dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) selain aktif dalam sukan antaranya badminton.

Sementara itu, Pengarah PSP Zulkifli Ariffin berkata, seramai 1,447 graduan menerima diploma pada majlis konvokesyen bertemakan 'Graduan Inovatif Pemangkin Kejayaan Industri' pada tahun ini.

"Tema itu adalah salah satu daripada enam strategi tumpuan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RM Ke-11) 2016-2020 iaitu membangunkan modal insan berinovasi dan produktif.

"PSP berjaya mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa dalam sistem akreditasi Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) pada tahun ini, sekali gus kemahiran dimiliki graduan PSP diiktiraf negara rantau Asia Pasifik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 6:16 PM