POLIS Johor menyerahkan laporan awal siasatan tujuh anggota dan pegawainya didakwa berhibur bersama tauke mesin judi di sebuah pusat hiburan kepada Bukit Aman, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan laporan awal sudah dihantar ke Bukit Aman pagi tadi.

Menurutnya, tidak timbul soal penganiayaan kerana sebagai pegawai dan anggota, mereka sedar keperluan menjaga integriti masing-masing.

"Kita akan menjalankan siasatan tatatertib dan tindakan bergantung pada hasil siasatan itu.

"Buat masa ini, kami sudah memindahkan tujuh anggota termasuk seorang pegawai kanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berkuat kuasa serta merta, semalam," katanya selepas menyerahkan 20 tilam dan 30 hamper kepada ibu bersalin di Wad Bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru hari ini.

Bantuan itu adalah sumbangan Bulan Sabit Merah Malaysia (Johor) dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Johor.

Hadir sama, Pengerusi PERKEP Johor, Datin Radziah Zakaria.

"Sebagai anggota dan pegawai polis, mereka perlu sedar beberapa tindakan terbatas dan memandangkan mereka berada di lokasi itu, tindakan disiplin akan diambil.

"Selain itu, kami akan mengenal pasti identiti individu yang berada bersama mereka sama ada seperti didakwa atau tidak.

"Buat masa ini mereka masih bertugas di IPK Johor seperti biasa hinggalah siasatan selesai," katanya.

Terdahulu Mohd Khalil dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memindahkan tujuh anggota termasuk seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke IPK Johor, serta merta selepas tular video mereka berada di dalam kelab malam, semalam.

Tindakan itu bagi memberi polis menjalankan siasatan terperinci atas dakwaan anggota dan pegawai berkenaan berhibur di sebuah pusat hiburan bersama tauke mesin judi.

Video berdurasi sembilan saat itu memaparkan sekumpulan lelaki berada di sebuah meja, dipercayai di dalam satu pusat hiburan.

Video berkenaan dikatakan dimuat naik ke Facebook Koleksi Video Viral oleh seorang pengguna bernama Jia Xing Chen bertajuk 'Anggota D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, berhibur bersama tokey judi haram. Terbaik. Polis dan masyarakat berpisah tiada'.

#kw susulan, tujuh polis viral berhibur dengan tokey judi haram.

#loc 1.492659, 103.7413591

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 6:33 PM