MUHAMAD Rezal menyoal nelayan warga asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara ini. Gambar kecil, Muhamad Rezal menunjukkan hasil tangkapan yang dirampas. FOTO Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) percaya wujud sindiket yang menyalurkan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan kepada pihak asing untuk dipalsukan ketika menceroboh perairan negara ini bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita percaya ada pihak yang memberikan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan kepada nelayan asing kerana banyak tangkapan yang dilakukan mendapati menggunakan nombor pendaftaran bot yang sah," kata Pengarah Pangkalan APMM Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah.

Menurutnya, pihaknya percaya wujudnya sindiket berkenaan kerana terbukti apabila tiga bot nelayan warga Vietnam yang ditahan pihaknya pagi semalam didapati menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan.

Katanya, ketiga-tiga bot itu ditahan kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta memalsukan dokumen pengenalan bot.

"Bot nelayan Vietnam yang dikemudi seorang tekong dan mempunyai 16 awak-awak pertama, ditahan kira-kira 74 batu nautika dari Kuala Kemaman kira-kira 9 pagi.

"Pemeriksaan mendapati bot itu menggunakan nombor pendaftaran bot palsu selain gagal mempamerkan permit kerja, mengecatnya seperti warna bot nelayan tempatan serta mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kami kemudian menemui kira-kira 5,000 kilogram ikan, 100 kilogram sotong dan diesel sebanyak 7,000 liter dalam bot terbabit," katanya ketika sidang media di Jeti APMM Kemaman di Chukai, hari ini.

Muhamad Rezal berkata, bot kedua pula ditahan di kawasan 85 batu nautika dari Kuala Kemaman kira-kira 10.30 pagi yang turut disyaki menggunakan nombor pendaftaran bot palsu.

Menurutnya, pihaknya menahan seorang tekong dan empat awak-awak serta merampas 5,000 liter diesel yang ditemui dalam bot terbabit.

Katanya, tekong bot berkenaan juga gagal mempamerkan lesen bot selain kesemua mereka itu tiada permit kerja serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

"Bot ketiga bersama 18 orang termasuk tekong yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, tiada lesen bot, permit kerja dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu pula, ditahan kira-kira 88 batu nautika dari Kuala Kemaman 11.30 pagi.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot terbabit menemui sebanyak 2,000 kilogram ikan dan 1,000 kilogram ikan baja serta 8,000 liter diesel," katanya.

Menurutnya, kesemua nelayan terbabit yang berusia antara 16 hingga 53 tahun dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan itu termasuk peralatannya dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:20 PM