Anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat seorang lelaki dari cerun bukit di Jalan Gombak Lama hari ini
Anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat seorang lelaki dari cerun bukit di Jalan Gombak Lama hari ini
Mohd Hasbi Sidek


TANGAN diikat dawai selain kepala dan kaki dibungkus guni putih sebelum dibuang ke cerun bukit.

Itu keadaan mayat lelaki yang ditemui orang ramai di Jalan Gombak Lama di sini, jam 3.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, siasatan menemui kesan kecederaan teruk pada leher mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras sebelum mayatnya dicampak pembunuh dari atas tebing.

“Ketika ini kami menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di kawasan itu.

“Lokasi kejadian dua kilometer dari Bulatan Genting Sempah melalui Jalan Gombak Lama,” katanya.

Beliau berkata, identiti mangsa berusia lewat 30-an masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan mengambil mayat mangsa jam 3.35 petang.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi. Mayat lelaki ditemui di tebing curam dengan kedalaman mencecah 10 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 10:02 PM