ISMAIL Sabri mencating batik pada majlis pra pelancaran KUD 2017 di Sri Pentas TV3, semalam.
Siti Fatimah Hassan


Petaling Jaya: Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) yang dijadualkan empat hari bermula 19 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyasarkan nilai jualan langsung dan padanan perniagaan RM13 juta menerusi penyertaan 700 usahawan desa dari seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, karnival dwitahunan itu bukan hanya menyediakan platform usahawan desa mempromosikan produk masing-masing malah diharap mampu membantu mereka mengembangkan pasaran ke luar negara menerusi sesi padanan perniagaan.

Katanya, sehingga kini 80 syarikat mengesahkan penyertaan mereka untuk membantu usahawan terbabit menembusi pasaran global.

“Kami menyasarkan nilai jualan langsung sepanjang karnival ini RM3 juta, manakala sasaran RM10 juta bagi sesi padanan perniagaan dengan 80 syarikat itu nanti.

“Menerusi sesi padanan perniagaan ini, ia memberi ruang kepada usahawan desa mencari potensi dan peluang mengembangkan pasaran ke luar negara terutama di (pasar raya) hipermarket.

“Bertepatan dengan slogan KUD 2017 Usahawan Desa Produk Global, kami berharap produk desa menembusi pasaran global. Sehingga kini, 80 syarikat mengesahkan kehadiran mereka pada sesi padanan perniagaan itu sepanjang tiga hari karnival berlangsung kelak,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran KUD 2017 di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) Johan Ishak.

Karnival yang menyasarkan kehadiran sejuta pengunjung akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 20 Oktober ini.

Pelbagai aktiviti yang disediakan sempena karnival itu termasuk jualan produk usahawan desa yang terbahagi kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat dan teknologi maklumat kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan.

Turut diadakan, forum Siswapreneur, demonstrasi produk dan kraftangan serta demonstrasi masakan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap penganjuran karnival itu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap produk keluaran usahawan desa.

“Kami ingin mengubah persepsi masyarakat dan membuktikan kepada mereka produk usahawan desa setanding dengan produk lain di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:36 AM