Kadar ketelusan cahaya yang dibenarkan adalah 70 peratus (cermin depan), cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus). - Foto Fail
BERNAMA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan akan melaksanakan peraturan baru mengenai cermin gelap pada tahun depan, seperti maklumat yang tular di media sosial.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, peraturan sedia ada yang diguna pakai ketika ini adalah di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016).

Menurutnya kadar ketelusan cahaya (VLT) yang ditetapkan bagi cermin depan adalah 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus) dan cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).

Buat masa ini, JPJ hanya akan mengeluarkan notis PG 1 iaitu notis larangan penggunaan kenderaan dan mengarahkan pemilik atau pemandu kenderaan yang melanggar undang-undang itu untuk menanggalkan pelekat cermin gelap di mana-mana pejabat JPJ negeri.

"Pemilik atau pemandu kenderaan akan diberi masa 10 hari membawa kenderaan ke mana-mana pejabat JPJ negeri untuk menanggalkan pelekat cermin gelap itu," kata JPJ.

​​​​​​​Menurut JPJ, sekiranya pemandu atau pemilik kenderaan gagal membawa kenderaan serta menanggalkan pelekat cermin gelap di pejabat JPJ negeri, pemilik atau pemandu kenderaan akan dikompaun maksimum RM300 mengikut seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika kes dibawa ke mahkamah, untuk sabitan pertama, pesalah akan didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, didenda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:55 PM