OPERASI SAR mangsa yang dikhuatiri hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak semalam. FOTO Ihsan Bomba dan Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) lelaki berusia 69 tahun yang dikhuatiri hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak semalam menemui jalan buntu apabila tiada sebarang petunjuk diperoleh sehingga 6 petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, Lau See, hilang selepas meninjau kawasan hutan itu untuk untuk kerja mengukur sempadan.

Ketua Balai Bomba Penyelamat Gua Musang Anuar Abas berkata, operasi SAR mangsa dijalankan selama lapan jam sejak 10 pagi tadi.

Katanya, seramai 15 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis terbabit dalam operasi terbabit.

"Kita menjalankan operasi di sekitar kawasan yang ditinjau mangsa namun tidak menemui petunjuk sebelum operasi dihentikan 6 petang tadi.

"Dua Orang Asli yang bersama mangsa sebelum kejadian turut dibawa untuk menunjukkan lokasi kejadian.

"Esok kita akan perluaskan lagi pencarian di kawasan sekitar " katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, mangsa memasuki hutan itu bersama dua penduduk Orang Asli dengan pacuan empat roda untuk meninjau kawasan terbabit.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua penduduk Orang Asli dan mangsa berpecah untuk meninjau kawasan itu.

Dua Orang Asli itu kemudian kembali semula ke kenderaan yang ditinggalkan sejauh 3 kilometer, namun mangsa tiada.

Selepas usaha mencari gagal Orang Asli terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Paloh.

Keterangan gambar

OPERASI SAR mangsa yang dikhuatiri hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak semalam.

Gambar Ihsan bomba dan Ramli Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 10:33 PM