RAKAMAN CCTV sewaktu dua lelaki cuba samun kedai telefon.
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Dua penjenayah bertempiaran melarikan diri selepas helah mereka merompak menggunakan pistol mainan disedari mangsa.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Sabtu lalu, suspek cuba menyamun kedai telefon pintar di Taman Puchong Utama, Puchong, sebelum dikejar mangsa bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku sewaktu pekerja premis terbabit bertugas sendirian di dalam premis.

Katanya, mangsa didatangi dua lelaki menaiki kereta Proton Iswara dan seorang daripada suspek memasuki premis itu terlebih dahulu.

“Suspek bertanya sama ada mangsa berseorangan di dalam premis sebelum kembali ke kenderaan dan mengambil sesuatu.

“Suspek kemudian masuk semula ke dalam premis bersama rakannya sebelum berpura-pura mengambil sesuatu dari dalam beg sandang. Suspek kemudian mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa melarikan diri ke bilik di belakang premis sebelum mengambil parang serta mengejar suspek sejurus menyedari senjata digunakan adalah pistol mainan,” katanya.

Kejadian turut menjadi tular apabila video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu kejadian di premis terbabit tersebar di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:59 AM