MOHD Khalil memeriksa perbarisan pegawai dan anggota polis ketika membuat lawatan kerja ke IPD Iskandar Puteri, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Iskandar Puteri: Polis Johor mengenal pasti hanya seorang anggotanya yang tular dalam sekeping gambar bersama wanita berpakaian seksi dipercayai wanita warga asing membabitkan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Segamat, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, bagaimanapun dua anggota dikenal pasti berada di lokasi kejadian ketika gambar itu dirakam.

“Sebenarnya kita kenal pasti ada dua anggota MPV pada masa itu, tetapi hanya seorang saja yang lakukan kesalahan itu (memegang wanita itu), tetapi mereka sudah dipindahkan keluar daripada tugas MPV dan diletakkan dalam tugas yang tidak ada hubung kait dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dua anggota MPV IPD Segamat dikeluarkan daripada unit itu serta-merta, selepas gambar mereka didekati seorang wanita seksi ketika dalam tugas, tular kelmarin.

Mohd Khalil berkata, siasatan tatatertib dijalankan bagi mengenal pasti kejadian itu.

Katanya, anggota berkenaan masih kekal di IPD Segamat, namun bertugas di bahagian lain sementara siasatan lengkap dijalankan.

Difahamkan, dua anggota berkenaan melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar bandar Segamat sebelum didatangi wanita berpakaian seksi dipercayai warga asing.

Pada masa sama, seorang daripada rakan wanita itu merakam gambar berkenaan sebelum menyebarkannya ke laman sosial.

Ia kejadian kedua berturut-turut membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dikenakan tindakan tatatertib selepas tujuh anggota termasuk seorang pegawai IPD Muar ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 8 Oktober lalu.

Terdahulu Mohd Khalil hadir sempena lawatan kerja ke IPD Iskandar Puteri pada jam 9.30 pagi semalam dan memeriksa perbarisan dengan disaksikan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:02 AM