Mazlan (tengah) bersama sebahagian penagih dadah yang ditahan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


SERAMAI 29 individu termasuk remaja 14 hingga 19 tahun ditahan kerana positif dadah selepas menyertai parti lalok di sebuah rumah tumpangan di Kampung Berangan, Tumpat, malam tadi.

Mereka ditahan sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Daerah Tumpat yang melakukan operasi mengekang penyalahgunaan dadah pada 12 tengah malam.

Ketika ditahan, terdapat 30 individu di dalam rumah tiga bilik berkenaan yang 29 daripadanya berada di bawah pengaruh dadah manakala hanya seorang individu disahkan negatif dadah.

Mereka ditahan AADK untuk siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ketua Pegawai AADK Tumpat Mazlan Idris berkata, ketika serbuan dibuat, peserta parti dalam keadaan khayal selepas mengambil dadah dan masing-masing berkumpul di ruang tamu serta sebuah bilik yang sudah diubah menjadi seperti disko.

Katanya, terdapat dua bilik lagi dipersiapkan menjadi ruangan dipercayai untuk melakukan hubungan seks dan mempunyai tilam serta bantal.

"Semua yang ditahan bukan berasal dari daerah ini sebaliknya dari Kota Bharu dan Bachok. Mereka menyertai parti itu selepas mendapat jemputan peribadi yang diedar menerusi aplikasi Whatsapp.

"Peserta parti hanya membayar RM10 untuk berpesta dadah dan dibenar melakukan hubungan seks. Bagaimanapun ketika diserbu, tiada pasangan yang sempat melakukan hubungan terlarang," katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, seorang remaja perempuan dikenali sebagai Mira, 15, berkata, dia menyertai parti terbabit bersama kakaknya, Tasya, 17, selepas dibawa abang angkatnya yang berusia 20-an.

Dia mendakwa tidak mengetahui mengenai kewujudan parti begitu dan pertama kali menyertainya selepas dibawa ke tempat terbabit.

"Sebaik diajak keluar makan, saya minta kakak untuk teman saya namun kami tidak dibawa ke kedai makan sebaliknya ke sebuah rumah tumpangan di Kampung Berangan.

"Sebaik tiba jam 11 malam, saya dan kakak terkejut kerana ramai remaja seusia saya berkumpul di situ dan kami tidak kenal pun satu sama lain," katanya.

Sementara itu, AADK Tumpat turut menahan sembilan lagi lelaki kerana mengambil dadah dalam serbuan di beberapa rumah di daerah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:16 PM