ANGGOTA bomba dan penyelamat Kuala Krai mengangkat jenazah Zamri Abdullah, 44, yang ditemui lemas di Sungai Kenerong, Jelawang Dabong. FOTO Ihsan Bom
Rohaida Omar


ARWAH Zamri Abdullah, 44, dikatakan sempat mengagumi batu di Sungai Kenerong, Kampung Stong, Dabong, Kuala Krai yang cantik dan sesuai untuk dijadikan batu nisan pusara ibunya.

Isteri arwah, Nor Zalmawati Mat Nor, 43, berkata, arwah suaminya juga bersungguh mencari batu yang sesuai memandangkan mentuanya baru tiga hari meninggal dunia.

“Arwah asyik memuji batu sungai itu yang cantik dan teruja untuk membawanya pulang untuk dijadikan batu nisan pusara ibu.

"Namun, niatnya tidak kesampaian dan hanya Allah SWT mengetahui segala-galanya kerana Dia yang mengatur takdir ini," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai (HKK), hari ini.

Mayat Zamri yang juga pesara tentera ditemui tersangkut pada kayu oleh pasukan penyelamat, kira-kira dua kilometer dari tempat dia jatuh pada 11.35 pagi tadi.

Nor Zalmawati berkata, sebelum mereka sekeluarga ke sungai itu semalam, arwah suaminya sudah meninjau lokasi berkenaan sendirian.

Katanya, arwah juga ada mengadu kepenatan selepas mengadakan kenduri tahlil di rumah keluarga di Gua Musang selama tiga hari berturut-turut dan mahu ke sungai berkenaan untuk berehat.

"Apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Saya reda. Saya juga bersyukur mayat suami ditemui dengan baik," katanya.

Mayat Zamri dihantar ke HKK untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, Gua Musang, malam ini.

Berita berkaitan:

Tragedi cari batu untuk batu nisan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:04 PM