MD Jais melakukan gimik pelancaran pengasingan sisa pepejal sambil diperhatikan Sallehuddin (kanan), Mohd Khir (dua kanan) dan A Rahim (dua kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


SISTEM Parking Digital, Program Pengasingan Sisa Pepejal Punca (SAS) dan Program Zon Bersih antara tiga inisiatif utama dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) sempena Pelancaran Eco-Inisiatif PBT Ke Arah Johor Berkemajuan Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata, tiga inisiatif itu bagi mendukung Gagasan Johor Berkemajuan seperti diamanatkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Sebenarnya, penyertaan dan pembabitan penjawat awam sama ada di peringkat jabatan negeri, jabatan persekutuan, universiti dan institut kemahiran, mencerminkan satu iltizam yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan agenda negara.

"Jesteru, wujud keperluan yang sangat wajar untuk kita memastikan sistem perkhidmatan awam sentiasa produktif, cekap, amanah dan telus," katanya sempena Pelancaran Eco-Inisiatif PBT di Iskandar Puteri, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setua Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Salehuddin Hassan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, A Rahim Nin serta Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan), Mohd Khir Johari Salleh.

Beliau turut berkata, aspek inovasi digital bukan lagi menjadi satu pilihan, malah, melalui pembudayaan inovasi menggunakan kecanggihan dunia digital ini, ia akan mampu merealisasikan impian menterjemahkan Gagasan Johor Berkemajuan dengan lebih pantas, kukuh dan mampan.

"Justeru, beberapa Pihak Berkuasa Tempatan Johor mengorak langkah dalam penggunaan Sistem Parking Kenderaan Secara Digital.

"Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menawarkan Sistem Pengurusan Tempat Letak Kereta Baru yang berkonsepkan

Sistem Hibrid Kupon dan aplikasi MBJB SPOT," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem parking digital memberi manfaat kepada hampir sejuta orang awam yang tinggal di kawasan Johor Bahru Tengah seperti Impian Emas, Perling, Bukit Indah, Nusajaya, Skudai dan Gelang Patah.

"Sistem Parking Secara Digital ini juga boleh diperluaskan ke kawasan PBT di Wilayah Iskandar seterusnya ke PBT seluruh Johor," katanya.

Bagi Program SAS katanya kerajaan negeri Johor menyahut baik saranan Kerajaan Persekutuan yang mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah mulai 1 September 2015.

"Inisiatif untuk melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca adalah sangat relevan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran 22 peratus kadar kitar semula pada tahun 2020, berbanding 17.5 peratus kadar kitar semula pada masa kini.

Beliau berkata, secara mudahnya, sisa pepejal hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki.

"Sisa baki adalah sisa pepejal isi rumah yang tidak boleh dikitar semula seperti sisa makanan dan sisa-sisa kotor.

"Sisa baki ini perlu diikat kemas dan diletakkan dalam tong sampah yang disediakan dan sisa ini akan dihantar ke tapak pelupusan sampah, malah inisiatif ini amat penting dilaksanakan oleh PBT bagi memastikan masyarakat setempat tidak terdedah kepada sebarang

jenis penyakit," katanya.

Inisiatif Program Zon Bersih pula katanya, Kerajaan Negeri juga serius dalam menangani isu kebersihan.

"Isu kebersihan ini sudah lama diperkatakan, malah saya ingin memberitahu bahawa cabaran paling besar kepada keselamatan manusia bukan lagi peperangan, bukan juga terrorisme tetapi serangan penyakit berjangkit.

"Pihak Berkuasa Tempatan perlu menanam azam untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya maju dan berdaya saing. Hidup dalam kualiti hidup yang bermutu, sihat dan penuh nilai kerohanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:09 PM