SAAD (kanan), bapa kepada Anis (gambar kecil, tengah) yang belum ditemui. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


“SAYA terkejut apabila menerima panggilan isteri dalam keadaan menangis memaklumkan anak sulung kami hanyut dibawa arus,” kata Saad Ariffin, 45, bapa kepada Anis Syakirah, 12, yang dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini.

Saad berkata, ketika kejadian dia ada di tempat kerja sebelum isterinya menghubunginya pada 3.45 petang memaklumkan ingin membawa anak-anak ke Lubuk Semilang untuk mandi-manda.

"Saya sempat pesan kepada mereka supaya hati-hati kerana sekarang ini musim hujan.

"Tidak lama selepas itu dia (isteri) sekali lagi telefon dan menangis beritahu anak sulung kami hanyut... Anis memang boleh berenang sikit-sikit, tetapi dia tak mahir," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, dua kanak-kanak terselamat manakala seorang lagi maut dan tiga lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai secara tiba-tiba.

Anis Syakirah bersama Iman Wahidah Mohd Basri, 11, dari Kampung Ranggut dan Siti Aishah Kassim, 5, dari Bukit Malut antara masih hilang dan belum ditemui.

Mangsa yang maut dikenali Qistina Puteri Wira, 11, dan mayatnya ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 500 meter dari lokasi kanak-kanak itu dibadai arus.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa masih dijalankan.

Berita berkaitan:

Sempat paut pada batu

1 lemas, 3 masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 11:00 PM