Wilfred Madius (tiga dari kanan) dan Timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (empat dari kanan) bersama Mohamed (kiri) and Raja Malik (kanan) pada Majlis Anugerah Cyber Security Malaysia 2017 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Idris Musa
idris@hmetro.com.my

"Saya mula belajar mengenai Internet pada 1983. Saya belajar sendiri, melalui pembacaan dan buat praktikal sewaktu mengajar di Universiti Malaya. Kerajaan pun tak tahu pada masa itu," kata bapa Internet Malaysia, Dr Mohamed Awang Lah, 64.

Beliau adalah individu pertama yang memulakan perkhidmatan Internet di dalam negara pada 1986 sekali gus pengasas JARING.

"Sebelum itu memang tidak ada Internet. Faksimili pun baru keluar. Komunikasi melalui Teleks, itu saja.

"Idea untuk mewujudkan Internet pada masa itu timbul apabila saya menemui teknologi di dalam komputer dan saya minat.

"Sekarang, sudah banyak penyedia Internet, namun banyak lagi perkara yang kita perlu buat. Kita tahu, tapi kita belum berjaya menghasilkan produk kita sendiri. Ada, bukan tak ada, tetapi belum ketara. Jadi, kita kena berusaha lagi," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Cyber Security Malaysia 2017 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada majlis itu, Dr Mohamed bersama Datuk Dr Raja Malik Mohamed, 68, diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cyber Security yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sementara itu, Dr Raja Malik adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Pusat Teknologi Pengurusan Institut Tadbiran Awam (Imatec) dan pengasas Sistem Maklumat Pengurusan Ketua Eksekutif (SMPKE).

Beliau juga aktif dalam Persekutuan Komputer Nasional Malaysia (MNCC) sebagai pengerusi selama 10 tahun dan presiden Konfederasi Komputer Serantau Asia Tenggara (SEARCC) selama dua tahun.

Mengulas mengenai perkembangan IT dalam negara, beliau berkata, IT kita setanding dengan negara lain.

"Kita kena ikut trend baru. Namun, kita bukan hendak terus menggunakan teknologi itu.

"Kita hendak padankan dengan keperluan. Kalau tidak, kita beli tapi tidak pakai. Macam gajet, bukan pakai semua pun," katanya.

Majlis anugerah itu turut membabitkan kategori Cyber Security Professional of The Year, Cyber Security Company of The Year, Cyber Security Outreach Provider of The Year, Cyber Security Project of The Year, Cybersafe Professional of The Year dan Cyber Security Innovation of The Year.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 1:07 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »