Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


JAWATANKUASA Masjid Jamek Sungai Pinang, Georgetown mendesak tiada lagi pihak cuba mengapi-apikan isu perarakan dan pukulan gendang sebuah persatuan Cina di hadapan Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang yang menjadi tular sejak semalam.

Pengerusi Kariah Masjid Sungai Pinang Elias Che Amat berkata, desakan itu dibuat selepas wakil persatuan berkenaan hadir berjumpa dengan jawatankuasa Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang pada 6 petang semalam dan membuat permohonan maaf di atas kesilapan itu.

Menurutnya, dalam pertemuan selama hampir sejam itu, pihaknya turut memberi teguran dan nasihat kepada persatuan agar kejadian sama tidak berulang lagi di masa depan selain menggesa agar semua pihak menghormati agama antara satu sama lain.

Katanya, teguran itu amat perlu kerana semua pihak harus peka dan saling menghormati apabila membabitkan isu agama dan tidak perlu cuba mencetuskan suasana tidak tenteram atau kacau ganggu sehingga boleh menimbulkan pelbagai implikasi buruk jika tidak dibendung.

"Segala-galanya diselesaikan dengan baik antara kedua-dua pihak dan selepas ini tidak perlu ada pihak cuba mencetuskan provokasi perkauman dan sebagainya.

"Mereka yang tidak ada kena mengena diminta tutup mulut dan tidak perlu campur tangan kerana ia bukan isu politik sehingga boleh mencetuskan konflik perkauman jika tidak dibendung lebih awal," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, petang hari ini.

Kejadian berlaku 8.30 malam Rabu lalu ketika jemaah sedang solat Isyak di Masjid Makbul, Jalan Sungai Pinang apabila sekumpulan individu daripada persatuan Cina mengadakan perarakan keagamaan sambil bermain gendang di depan masjid berkenaan.

Video berdurasi satu minit dirakam seorang lelaki menjadi tular dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen kerana mendakwa tiada wujud perasaan menghormati agama Islam ketika jemaah sedang solat.

Berikutan kejadian itu, beberapa wakil dari persatuan itu datang bertemu dengan Jawatankuasa Masjid Jamek Sungai Pinang dan memohon maaf di atas kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:28 PM
Elias (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada wakil persatuan Cina yang hadir memohon maaf di atas kesilapan mereka sewaktu mengadakan pertemuan di Masjid Makbul semalam. FOTO ihsan Elias Che Amat. (Gambar kecil) Rakaman video yang tular.