Seorang murid sekolah gembira apabila dapat memegang serangga. FOTO ihsan E&O
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


PELUANG melihat dan menyentuh pelbagai spesis rama-rama dan serangga di Entopia, Teluk Bahang menjadi pengalaman berharga bagi 115 murid dari tiga sekolah di Georgetown, semalam.

Murid berusia antara 10 hingga 12 tahun itu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Tokong, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Hun Bin dan SJK Tamil Azad.

Mereka diberi peluang menikmati keindahan alam semula jadi di bahagian Natureland serta di pusat penemuan dan pendidikan, The Cocoon.

Pengurus Kanan Strategi dan Komunikasi Kumpulan Eastern & Oriental (E&O) Ann Tan berkata, murid terbabit ceria menyertai aktiviti mengenali secara dekat spesis kumbang, serangga, kala jengking, sugar glider dan serangga kayu.

Beliau berkata, selain berpeluang mengenali spesis invertebrata, vertebrata dan reptilia, murid mendapat pemahaman melalui pameran pembelajaran menerusi teknologi interaktif.

"Daripada perasaan takut, mereka dipupuk supaya menyayangi serta memelihara hidupan berkenaan selain memahami habitat serta ekologinya dan ini selaras dengan objektif program pendidikan komuniti 'Think Green' kami bagi memupuk dan menanamkan kesedaran ekologi.

"Sambutan murid terhadap pengalaman pembelajaran dengan alam semula jadi itu tidak ternilai, justeru kami berharap dapat mengadakan lebih banyak acara seumpamanya," katanya.

E&O aktif menjalankan program 'Think Green' sejak dilancarkan empat tahun lalu dan sering bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Program berkenaan turut disertai beberapa sekolah di negeri ini seperti Tadis Ar-Rasyidin, SMK Tanjung Bungah dan SK Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang.

Antara aktiviti dijalankan ialah membuat baja kompos, reka bentuk dan penjagaan taman, menanam herba, berkebun cara bandar dan pertanian semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:33 PM