GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.mu


KEMENTERIAN Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyifatkan kenaikan harga ikan di pasaran negeri ini sehingga 20 peratus ada kaitan dengan musim tengkujuh.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan, namun ia tidak melambung tinggi.

Beliau berkata, pihaknya memantau keadaan itu dan sudah menjadi senario biasa setiap kali musim tengkujuh akan berlaku kenaikan harga ikan di pasaran.

"Memang ada kenaikan harga ikan di pasaran sehingga 20 peratus tetapi perkara itu jarang berlaku dan ada juga ketikanya harga akan turun sehingga 70 peratus.

"Saya rasa kenaikan harga ikan tidak membebankan pengguna kerana mereka boleh buat pilihan termasuk membeli ayam," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Depavali 2017, di Pasaraya Econjaya, Gua Musang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan pengguna berhubung kenaikan harga ikan di pasaran hingga membebankan.

Hadir sama, Penyelaras Pengguna Parlimen Gua Musang, Datuk Wan Hazani Mohd Noor.


Abdul Ghani melancarkan Skim Kawalan Harga musim perayaan Deepavali. FOTO Ramli Ibrahim

Ab Ghani berkata, musim tengkujuh kebiasaannya nelayan tidak boleh turun menangkap ikan kerana laut bergelora menyebabkan ikan di pasaran kurang.

"Setakat ini, harga ikan belum lagi berada di tahap paling tinggi dan pengguna masih mampu membelinya," katanya.

Berhubung skim kawalan harga musim perayaan Depavali beliau berkata, sebanyak 16 barang keperluan diletakkan pada harga maksimum.

Katanya, skim kawalan harga itu ditetapkan selama 10 hari bermula hari ini hingga hingga 23 Oktober.

"Kawalan harga itu membabitkan lebih 60 pasar raya di Kelantan dan rebutlah peluang untuk berbelanja secara jimat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:41 PM