Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


SEBUAH hotel di Negeri Sembilan yang terbabit dengan runtuhan dinding, bumbung dan siling baru-baru ini diarah menghentikan sementara penggunaan alat pemanas air sehingga pemeriksaan selesai dijalankan.

Arahan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan untuk mengesan punca kerosakan alat berkenaan yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian itu, pada 10 Oktober lalu.

ST dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kemungkinan terdapat kerosakan pada alat pemanas air jenis penstoran yang dipasang di premis hotel berkenaan.

Menurutnya, pada lazimnya, alat pemanas air jenis penstoran dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan lebihan tekanan dalam alat terbabit yang boleh mengakibatkan letupan.

"Sehubungan itu, ST menasihatkan semua pengguna alat pemanas air jenis penstoran supaya membuat pemeriksaan lebih kerap sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

"Pengguna disaran mendapatkan khidmat pembekal alat pemanas air dan perlu memberi perhatian lebih dalam aspek pemasangan dan penggunaan," katanya.

Katanya, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, pengguna dinasihatkan membeli pemanas air yang mendapat kelulusan ST dan dilabel dengan label keselamatan ST-SIRIM.

Selain itu, katanya, Peranti Arus Baki (PAB) berpekaan 10 mA atau lebih rendah hendaklah dipasang pada sistem pendawaian yang membekalkan elektrik kepada pemanas air.

Dalam pada itu, pengguna perlu memastikan pemanas air dilengkapi dengan Pressure Relief Valve (PRV) dan sentiasa pastikan PRV tidak ditutup atau tersumbat oleh bendasing.

Menurutnya, PRV juga perlu diperiksa menerusi pengoperasian secara manual setiap enam bulan bagi memastikan ia tidak berkarat, bocor dan dapat beroperasi dengan sempurna.

"PRV juga disaran supaya ditukar sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun serta memastikan pemasangannya dilaksanakan oleh individu yang mahir.

"Sila pastikan juga alat yang dibeli dilengkapi ciri-ciri keselamatan tambahan seperti isolation barrier pada water inlet/outlet," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 52 dan 51 tahun cedera ringan manakala, anak perempuannya berusia 27 tahun selamat apabila bumbung serta siling bilik di tingkat enam Hotel Avilion Port Dickson runtuh.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan runtuhan itu berpunca daripada letupan tangki alat pemanas air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:45 PM