MAYAT Siti Aishah ditemui orang awam di tepi tebing sungai.
Hamzah Osman


Langkawi: “Aishah cukup manja pagi semalam (kelmarin) di mana dia beberapa kali mencium pipi dan tidur di atas riba saya seolah-olah tahu dia akan pergi jauh”.

Itu kata Kassim Abdullah, 45, yang kehilangan anak bongsunya yang berusia lima tahun, Siti Aishah, akibat lemas pada tragedi ‘kepala air’ di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, di sini, kelmarin.

Tiga lagi kanak-kanak turut lemas pada kejadian terbabit. Mereka ialah Anis Shahtirah Saad, 12, Qistina Puteri Wira, 11, dan Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11.

Pada kejadian jam 4.30 petang, semua mangsa dihanyutkan arus deras daripada puncak bukit yang melanda secara tiba-tiba.

Sementara itu, suasana di lokasi bertukar hiba dengan rintihan Kassim, 45, yang tidak dapat menahan sebak apabila diserahkan sehelai seluar trek yang dipakai Aishah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Seluar trek hitam itu ditemui orang ramai tersangkut pada akar kayu, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, jam 11.15 pagi semalam.

Kassim yang bekerja sebagai buruh turut memeluk erat seluar trek itu sambil bibirnya tidak henti menyebut nama anaknya.

“Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya yang menetap di Kampung Bukit Malut.

Mayat Siti Aishah kemudian ditemui jam 4.26 petang selepas hampir lapan jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung bermula jam 7 pagi semalam oleh Anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam serta dibantu penduduk sekitar.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Ahmad Husaini berkata, mayat Siti Aishah ditemui orang awam di tepi tebing sungai berhampiran kawasan perangkap sampah dekat surau di Kampung Bukit Kemboja, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 7:54 AM