FOTO collage yang dipetik daripada rakaman CCTV memaparkan mangsa diragut dalam kejadian 1 Oktober 2017.
Hadzlihady Hassan


SELEPAS hampir dua minggu berjoli dengan wang hasil kegiatan ragut, seorang lelaki diberkas polis di rumahnya di Bayan Lepas, malam semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan, pada 8.45 malam.

Selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk meragut mangsa.

Dalam kejadian 1 Oktober lalu, mangsa wanita berusia 54 tahun dan eksekutif syarikat petroleum diragut susek dekat hotel di Sungai Dua, Georgetown.

Mangsa kerugian RM3, 700 apabila wang tunai dan telefon bimbitnya diragut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Izwan Abd Karim mengesahkan penahan suspek.

Menurutnya, suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes pukul menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 2:39 PM