TENGKU Abdullah (duduk) bersama anggota Wataniah di Kem Rejimen 505 Sungai Miang, Pekan.
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Agensi penyelamat kini sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir melanda negeri ini.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pada pertemuan dengan ketua jabatan sebelum ini, mereka memberi jaminan semua persediaan sudah dilakukan membabitkan anggota, kenderaan pengangkutan dan bot penyelamat.

Baginda bertitah, bantuan pangkalan depan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diagihkan bagi memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan tidak berdepan masalah makanan.

“Saya berpuas hati dengan maklumat yang diberikan agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa pihak lain.

“Turut akan menghulurkan bantuan 24 jam ialah anggota Wataniah yang tidak saja mempunyai ramai anggota, juga kenderaan bagi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan berhampiran,” titah baginda pada Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 di Kem Rejimen 505 Sungai Miang di sini, baru-baru ini.

Hadir sama setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Azrul Syamsul Sahak.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah menyempurnakan pemakaian pangkat kepada seorang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat.

Baginda bertitah, JKM kini sudah selesai menyediakan pusat pemindahan membabitkan dewan serba guna, sekolah dan balai raya, turut disediakan ialah makanan dan pelbagai keperluan lain.

Tengku Abdullah bertitah, pengalaman menghadapi kejadian banjir besar sebelum ini memberi banyak pengajaran kepada agensi penyelamat untuk bersedia lebih awal selain menyediakan keperluan bot dengan secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:14 AM