Barangan yang dirampas hasil penahanan suspek di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


PEMBANTU kedai runcit ditahan kerana memiliki syabu, ganja dan peralatan polis di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, dua anggota polis dari Unit MPV menjalankan rondaan di Jalan Sepanggar, dekat sini, lalu terserempak sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis kemudian menghampiri kereta berkenaan dan mengarahkan supaya pemandu memberhentikan kenderaan untuk tujuan pemeriksaan.

"Kereta itu berhenti dan tiba-tiba dua lelaki di dalam kereta itu melarikan diri. Anggota polis kemudian menahan pemandu kereta terbabit," katanya ketika dihubungi.

Chandra berkata, hasil pemeriksaan di dalam beg sandang dipakai lelaki terbabit menemui logo besi polis, gari dan kunci gari dipercayai untuk aktiviti penyamaran sebagai anggota polis bagi melakukan jenayah.

"Polis turut menemui kertas yang berisi dadah jenis ganja seberat 4.82 gram.

"Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Manggatal untuk pemeriksaan lanjut dan menemui satu peket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 0.22 gram yang disembunyikan di dalam kasut suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan rakan jenayah suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 89 (A) Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis secara salah, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 6:02 PM