SHARIFUDDIN Bahari
SHARIFUDDIN Bahari
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas ubat tertentu dan rawatan di hospital swasta antara harapan rakyat untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2018.

Penjawat awam, Sharifuddin Bahari, 37, berkata bukan semua ubat dikecualikan daripada GST ketika ini, sedangkan ia antara keperluan utama rakyat terutama bagi pesakit kronik.

“Kalau boleh kerajaan perlu menyelaraskan harga ubat dan kos rawatan di hospital swasta kerana perbezaannya begitu ketara, apatah lagi harga premium insurans juga berbeza antara satu sama lain.

“Kerajaan juga wajar memberi pelepasan cukai tambahan pada Bajet 2018 bagi menggalakkan lebih ramai pengguna melanggan insurans perubatan.

“Langkah ini akan membantu mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam selepas lebih ramai pesakit mula beralih daripada hospital swasta kepada hospital awam,” katanya.

Model sambilan, Salina Omar, 33, berkata sektor kesihatan dan pendidikan perlu terus menjadi keutamaan kerajaan kerana ia teras kepada kesejahteraan serta kemajuan negara.

Katanya, pihak berwajib perlu mempermudahkan urusan rakyat untuk mendapat perkhidmatan kesihatan dan memendekkan tempoh menunggu terutama bagi kes kecil serta rawatan susulan.

“Selain keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan, kerajaan juga perlu mempercepatkan tempoh penempatan graduan perubatan di tempat sepatutnya.

“Rakyat keliru kerana ada dakwaan mengatakan nisbah doktor tidak cukup dengan jumlah pesakit di hospital, tetapi pada masa sama ramai graduan perubatan terpaksa ‘menganggur’ kerana tidak tahu bila akan dipanggil bertugas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:08 AM