Noormazida (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap 14 tuduhan melakukan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kota Bahru, hari ini. Foto MUHAMAAD RAZIS ISMAIL
Muhamaad Razis Ismail

PEMBANTU tadbir wanita di sebuah hospital dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap 14 tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM211,239 sejak Mac lalu.

Tertuduh Noormazida Mukhtar, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM211,239 daripada aktiviti haram ke akaun bank JIE Excellent Enterprise miliknya di sebuah bank di Kubang Kerian pada Mac hingga Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Harian Metro pada 6 Oktober lalu melaporkan tertuduh sama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu terhadap 16 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi bernilai RM132,277.23.

Sebelum itu pada September lalu, Noormazida bersama suaminya Mohd Fikri Izani, 26, juga didakwa terhadap enam pertuduhan membuat tuntutan pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Berita berkaitan

'Noormazida, mana telurnya? [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 1:56 PM