ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi mengesan mangsa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BAU busuk di lokasi pencarian menjadi satu-satunya petunjuk pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan lelaki dikenali Lau See, 69, yang hilang di Hutan Simpan Kekal Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak seminggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan, Abdullah Daud berkata, bau itu dikesan pasukan SAR terdiri daripada pelbagai agensi ketika operasi, semalam.

Bagaimanapun, katanya, usaha mencari dan mengesan menemui jalan buntu sehingga ia ditangguhkan pada 6 petang.

"Jadi dalam operasi hari ini, pasukan SAR 31 orang membabitkan polis, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menumpukan kawasan yang berbau itu untuk mencari petunjuk lain.

"Operasi bermula 10 pagi tadi dan sudah berlangsung sejak tujuh hari lalu. Kita juga turut dapatkan bantuan 11 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 9 Oktober lalu, Lau See dilapor hilang apabila tidak keluar dari hutan itu selepas selesai meninjau kawasan untuk dibuat persempadanan bersama dua penduduk Orang Asli.

Dia memasuki hutan bersama Pandu Amat, 45, dan anak lelakinya Azerin, 20, pada 2.30 petang, namun tidak ditemui dua beranak itu yang menunggu di kenderaannya sehingga 5.30 petang.

Pandu kemudian membuat laporan di Balai Polis Paloh sebelum operasi SAR digerakkan pihak berkuasa.

Berita berkaitan:

Dicari tidak jumpa

Belum jumpa Lau See

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 3:43 PM