KAWASAN air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi yang meragut empat nyawa kanak-kanak dalam tragedi 'kepala air', Khamis lalu. Gambar kecil, SITI HAJAR, ibu kepada arwah Anis Syatirah Saad. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


DUA ibu kepada kanak-kanak mangsa lemas akibat dihanyutkan 'kepala air' dalam kejadian di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, Khamis lalu, masih trauma dan terbayang tragedi pahit di hadapan mata mereka.

Siti Hajar Ishak, 35, dari Kampung Lawer Langkawi, juga ibu kepada arwah Anis Syatirah Saad, 12, mengakui belum mempunyai kekuatan untuk memegang dan menatap slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak sulungnya itu sebaik diumumkan kelak.

"Arwah antara calon UPSR yang baru selesai menduduki peperiksaan itu dan saya belum ada kekuatan untuk terima keadaan yang anak saya pergi buat selama-lamanya.

"Setakat ini saya lemah dan belum bersedia untuk pegang slip (keputusan) UPSR arwah, mungkin (saya) akan minta bantuan rakan-rakan atau ahli keluarga lain tolong ambil bagi pihak saya dan suami," katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Hajar berkata, sekurang-kurangnya ada dua perubahan sikap yang ketara pada anaknya kira-kira seminggu sebelum tragedi itu.

"Arwah bersikap pendiam ketika berada di rumah, walaupun ketika di sekolah dia memang mesra dengan guru dan rakannya, malah petanda kedua dia merungut kerana nasi yang dimakannya berwarna terlalu putih dari biasa.

"Allah pinjamkan arwah kepada saya selama 12 tahun dan kini saya reda apa yang berlaku kerana kita manusia hanya boleh merancang tapi Tuhan yang menentukan segalanya," katanya yang juga kerani di Maktab Mahmud cawangan Langkawi.

Ibu kepada arwah Nur Iman Wahida Mohd Basri, 11, Zahita Saidin, 35, turut mengakui masih terbayang kelibat semua mangsa kerana melihat sendiri tragedi itu.

Ibu tunggal yang kematian suami akibat dihempap jentolak yang dipandunya dalam kejadian di Kampung Bukit Masjid, Mukim Kedawang, tiga tahun lalu, berkata, Nur Iman Wahida adalah anak sulung daripada dua beradik.

"Seminggu sebelum kejadian, arwah memang ada tunjuk tabiat yang pelik termasuk mahu berada dalam suasana sunyi di rumah selepas balik dari sekolah, selain beberapa kali mengajak saya makan di tepi pantai.

"Ini ujian kedua bagi saya selepas kematian suami tiga tahun lalu. Arwah (Nur Iman Wahida) yang menjadi jantung hati dan harapan sudah tiada.

"Sejak sebulan lalu saya ikut sahaja apa yang dimintanya, malah dia tidak mahu berenggang dengan saya, rupanya dia mahu pergi buat selama-lamanya," katanya yang menetap di Kampung Padang Ranggut, Langkawi.

Pada majlis itu, Nawawi menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris mangsa dengan masing-masing menerima RM500 bagi mangsa yang meninggal dunia, diikuti RM300 kepada waris mangsa yang cedera.

Pada sidang medianya, Nawawi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mandi di pusat rekreasi yang mempunyai air terjun atau sungai pada musim hujan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mayat Aisyah dah jumpa

"Aisyah... Aisyah... Aisyah..."

Mayat Anis dijumpai lima kilometer [UPDATE]

Jumpa di perangkap sampah

Semoga Anis ditemui segera

Sempat paut pada batu

1 lemas, 3 masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:43 PM