NOORMAZIDA (tengah) dituduh melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM211,239 sejak Mac lalu.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Buat kali ketiga, seorang pembantu tadbir wanita hospital dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap 14 tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi RM211,239, sejak Mac lalu.

Tertuduh, Noormazida Mukhtar, 27, yang bertugas di Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Pada 5 Oktober lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu terhadap 16 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan transaksi bernilai RM132,277.23.

Sebelum itu, bulan lalu, Noormazida bersama suaminya Mohd Fikri Izani, 26, didakwa terhadap enam pertuduhan membuat tuntutan pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada HSNZ.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa terhadap 14 tuduhan memindahkan wang berjumlah RM211,239 daripada aktiviti haram daripada akaun KAB Adil Resource milik suaminya ke akaun bank JIE Excellent Enterprise miliknya di bank di Kubang Kerian pada Mac hingga Julai 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:04 AM