BEKALAN ikan segar tidak mencukupi jadi pendorong kepada peningkatan harga ikan segar Kampung Kempadang.
SEBAHAGIAN bot nelayan di Kompleks LKIM Kuala Kurau tidak dapat keluar ke laut akibat cuaca buruk.
BEKALAN ikan semakin susut akibat cuaca yang tidak menentu.
Idris MusaMuhaamad Hafis NawawiHamzah Osman dan Nazdy Harun dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kuala Lumpur: Cuaca tidak menentu, bekalan kurang dan harga yang diletakkan pembekal mahal antara alasan popular golongan peniaga mengenai kenaikan harga ikan di pasaran.

Faktor berkenaan menyebabkan harga ikan bukan saja melambung
di Lembah Klang, malah
di kawasan utara tanah air seperti Perak dan Kedah.

Umpamanya tinjauan wartawan Harian Metro baru-baru ini mendapati harga ikan kembung
di daerah Kerian, Perak meningkat hingga RM18 sekilogram.

Peniaga ikan Pasar Awam Batu Lima, Parit Buntar, Saiful Lazim Abas, 44, berkata, setiap hari peniaga sepertinya terpaksa berdepan dengan pelbagai pertanyaan daripada pelanggan khususnya ketidakselarasan harga serta kekurangan ikan yang dijual.

“Hampir setiap hari pasti ada pelanggan bertanya kenapa bekalan ikan kurang dan kenapa harga ikan tidak menentu?

“Perkara ini sebenarnya sudah biasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain hasil tangkapan ikan berkurangan menyebabkan pembekal meletakkan harga yang tidak menentu kepada kami.

“Berikutan harga ikan yang diperoleh daripada pembekal agak tinggi, peniaga seperti kami tidak memikirkan keuntungan besar sebaliknya hanya mengambil untung seminimum mungkin,” katanya.

Di Langkawi, peniaga di Pasar Awam Kuah, Mariam Ahmad, 50, berkata, harga ikan dijualnya bergantung kepada harga pasaran dan pembekal.

“Kami dapat bekalan dengan harga tinggi, mustahil jual dengan harga murah... kerana tiada siapa mahu berniaga dan akhirnya rugi.

“Ada kala mahal bukan sebab harga ikan atau minyak naik tapi sebab musim, kalau tengah tak ada ikan akibat cuaca buruk memanglah jadi mahal,” katanya.

Mariam berkata, dia bersimpati dengan pengguna apabila terpaksa menjual ikan kembung dengan harga RM22 sekilogram kira-kira dua bulan lalu kerana harga ditawarkan pembekal tinggi.

“Sekali fikir tak masuk akal dan jadi sejarah apabila ikan kembung dijual RM22 sekilogram di Langkawi. Bagaimanapun, Alhamdulillah harga sudah turun antara RM6 hingga RM8 sekilogram ketika ini.

“Jika harga tinggi bukan saja pengguna mengeluh, kami peniaga pun turut terkesan kerana pendapatan akan jadi kurang kerana pengguna tidak mahu berbelanja,” katanya.

Di Alor Setar, peniaga ikan, Bokory Ibrahim, 30, berkata harga ikan memang banyak bergantung kepada bekalan dan faktor cuaca.

“Jika ikan berkurangan harganya naik sedikit, jika banyak ikan akan lebih murah. Ikan pelanduk dijual RM25 sekilogram, bawal RM33 sekilogram, ikan merah RM14 sekilogram, gelama RM8 sekilogram dan kerapu kecik RM10 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 6:36 AM