Mohd Azis (kanan) bersama Ariffin (tengah) dan Jamawi (kiri) dibebaskan dari tahanan reman. FOTO Mohd Adam Arinin
Fardy Bungga


MAHKAMAH Majistret Kota Kinabalu membebaskan tiga ahli politik yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana RM1.5 bilion membabitkan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), hari ini.

Ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan selepas tempoh sambungan reman tiga hari tamat hari ini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM50,000 dan RM30,000.

Manakala Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dibebaskan dengan jaminan RM20,000.

Mohd Azis diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat, Jaikol Situn dan Darell Leiking manakala Jamawi diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri, Mohd Azhier A Farhan Arifin, Jafar Esteben.

Ariffin pula diwakili oleh peguam Hamid Ismail manakala SPRM diketuai oleh Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Setakat ini, difahamkan SPRM sudah mengambil keterangan dari 45 individu berhubung siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 5:18 PM