Permainan mudah alih genre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) dibangunkan oleh Tencent Games iaitu Arena of Valor (AOV).
Hazril Md Nor
am@hmetro.com.my


SELAKU platform hiburan digital di bawah Sea Group, Garena hari ini dengan rasminya melancarkan permainan mudah alih genre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) dibangunkan oleh Tencent Games iaitu Arena of Valor (AOV).

Permainan mudah alih ini kini boleh dimuat turun di Google Playstore atau Apple AppStore.

AOV menampilkan lebih 40 karakter yang terdiri daripada pelbagai peranan (class) berbeza. Pemain mengawal satu karakter untuk bertarung di tiga laluan berlainan.

Pemain juga dapat menikmati grafik yang cantik, pengoptimuman yang lancar dan permainan ini turut menyokong fungsi sentuhan pada skrin.

Menariknya, Hanz Zimmer yang pernah membolot anugerah terkemuka seperti Grammy, Academy dan Golden Globes turut berkolaborasi dalam menggubah runut bunyi (soundtrack) permainan berkenaan.

Bagi pemain baru, mereka boleh mendapatkan sehingga 14 hero secara percuma selepas membuat pendaftaran awal yang dibuka sejak dua minggu lalu.

Pengurus Produk Operasi Permainan Mudah Alih Garena, Goh Jian Hao berkata, ini masa sesuai memperkenalkan AOV mengikut permintaan yang tinggi dalam pasaran e-sukan.

"Sebagai penerbit 'game' terkemuka, kami teruja untuk mengembangkan sektor e-sukan dengan lebih meluas berikutan 80 peratus pemainnya berminat dengan permainan mudah alih.

"Kami berharap AOV akan memberikan pengalaman yang menarik kepada pengguna peranti pintar di negara ini dan pemain 'game' khususnya," katanya.

Lebih menarik, Garena AOV akan menganjurkan acara e-sukan pertamanya di Comic Fiesta, sebuah konvensyen komik, permainan video dan animasi pada Disember depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 8:37 PM