Sebahagian mangsa banjir yang dipindahkan oleh agensi-agensi termasuk APM, polis dan bomba. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


SERAMAI 29 penduduk membabitkan sembilan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), di Dewan Masyarakat Tun Said susulan banjir di dua kampung di Kota Belud, kira-kira jam 7.19 malam tadi.

Difahamkan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dibuka pada pada jam 4.05 petang dan agensi yang terbabit segera mengumpul mangsa banjir di kawasan lapangan menggunakan bot.

Pemangku Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, hujan lebat sejak jam 2 petang tadi menyebabkan kampung Donggoi dan Kampung Marajah dinaiki air.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, operasi pemindahan penduduk yang dibantu pasukan polis dan bomba dijalankan serta-merta.

"Kawasan ini kebiasaannya tidak memerlukan pemindahan namun keadaan air yang terus meningkat menyebabkan langkah ini diambil," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Izaimi berkata, Sungai Tempasuk dan Sungai Abai juga turut mencapai paras amaran iaitu pada ketinggian 5.15 meter.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan berhati-hati khususnya di Jalan Kampung Marajah-Kampung Donggoi yang dinaiki air.

"APM akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa sebagai langkah keselamatan dan mengenal pasti penduduk lain yang perlu dipindahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 9:20 PM