DUA mangsa yang melecur. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


DUA wanita melecur di badan terkena letupan akibat gas petroleum cecair (LPG) bocor di sebuah rumah di Jalan SS2/63, Sea Park, Petaling Jaya, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian jam 6.32 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat Damansara dikerahkan ke lokasi bagi bantuan.

"Siasatan awal mendapati terdapat kebocoron gas dalam rumah berkenaan mengakibatkan berlaku sedikit letupan sehingga merosakkan bahagian siling dapur.

"Kejadian menyebabkan dua wanita berusia 30-an yang berada di rumah terbabit melecur di bahagian badan sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan susulan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 1:11 AM