Ahli keluarga mengaminkan doa ketika majlis pengebumian Allahyarham Shyzlin Hathaman yang meninggal dunia di Peru dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JENAZAH rakyat Malaysia yang ditahan berkaitan kes dadah di Lima, Peru dan meninggal dunia di sana pada 7 Oktober lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru, pada 9.30 malam semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Shyzlin Hathaman tiba di perkarangan tanah perkuburan itu pada 9 malam selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Tun Hussein Onn, Larkin, Johor Bahru seusai solat Isyak.

Selepas 10 hari meninggal dunia di hospital di Peru, Amerika Selatan itu, jenazah Allahyarham Shyzlin selamat dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di negeri asal kelahirannya di Johor.

Kira-kira 2.30 petang tadi, jenazah Allahyarham Shyzlin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan seterusnya menjalani proses dokumentasi selama dua jam di Kargo lapangan terbang itu.

Jenazahnya kemudian dibawa menaiki van jenazah terus ke masjid jamek berkenaan untuk disembahyangkan sekali lagi.

Sebelum ini, jenazahnya turut disembahyangkan di bangunan Persatuan Islam Peru di Lima.

Pengurusan jenazah Allahyarham Shyzlin di Peru dilaksanakan pejabat Kedutaan Malaysia di negara berkenaan dengan kerjasama penduduk Islam setempat dan Biro Kebajikan UMNO (BiKuM) turut membantu dalam menguruskan jenazah wanita itu termasuk menanggung semua kos membawa pulang ke tanah air.

Menurut kakak kandung kepada Allahyarham Syzlin, Rushidah Hathaman, 57, tidak dapat menahan air mata apabila menatap wajah adiknya buat kali terakhir setelah tidak bertemu sejak 17 tahun yang lalu.

Rushidah berkata, dia hanya mendapat tahu tentang kematian adik bongsunya itu ketika menonton siaran berita pada minggu lalu dan dia yang tinggal di Singapura tiba ke masjid kira-kira 7.30 malam.

"Saya dengan arwah tidak begitu rapat kerana sejak dari kecil sudah terpisah dengannya disebabkan ibu bapa tak dapat menampung adik-beradik yang ramai. 

"Bila sudah dewasa, saya berusaha untuk mencari adik-beradik yang sudah terpisah. Saya berasa sebak kerana tidak dapat berjumpa dengannya buat kali terakhir," katanya.

Allahyarham Shyzlin, 43, menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa sehingga dipenjara dan terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu.

Allahyarham dibebaskan daripada hukuman pada Mei lalu, namun proses membawanya pulang tergendala berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Kisah sedih Allahyarham mendapat perhatian umum apabila dia dilaporkan meringkuk dalam penjara lebih empat tahun sebelum ditempatkan di sebuah gereja negara itu yang menjadi tempat tinggalnya.

Wanita itu kemudian dilaporkan meninggal dunia di hospital di sana selepas dimasukkan ke wad kerana komplikasi pelbagai penyakit.

Allahyarham Shyzlin dikebumikan berdekatan dengan kubur sepupunya, Allahyarham Norabdah Mahmood, 49, yang meninggal dunia pada 23 September lalu.

Suami kepada Allahyarham Norabdah, Shaan Shah Mohd Nasir berkata, dia sekeluarga lega apabila wasiat terakhir isterinya sebelum menghembuskan nafas terakhir untuk membawa pulang Allahyarham Shyzlin ke tanah air termakbul.

Katanya, sejak Allahyarham Shyzlin tamat menjalani hukuman penjara selama empat tahun di Lima, Peru, dia selalu berhubungan dengan wanita itu menerusi WhatsApp untuk mencari ikhtiar membawanya pulang ke Malaysia.

"Syukur apabila amanat terakhir isteri saya untuk membawanya pulang ke tanah air termakbul walaupun mereka tidak sempat bertemu. Atas permintaan itu jugalah jenazah Shyzlin dikebumikan berdekatan dengan kubur isteri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 1:21 AM