KAWASAN terjejas akibat banjir di Kota Belud. Foto IHSAN APM
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my

JUMLAH mangsa banjir di Kota Belud meningkat kepada 49 orang setakat 8 pagi ini berbanding 37 orang pada lewat malam tadi.

Mereka terdiri 25 dewasa, 13 kanak-kanak, dua bayi dan sembilan warga emas membabitkan 17 keluarga dari lima kampung kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunding, Kampung Sadok-Sadok dan Kampung Sembirai.

Katanya, banjir juga menyebabkan beberapa laluan di daerah berkenaan dinaiki air.

"Hasil pemantauan mendapati Jalan Kampung Donggoi-Kampung Marajah, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Siasai Tamu, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Kampung Kota Belud serta Jalan Lebak Moyoh Bypass tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

"Selain itu, Jalan Kampung Linau tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kampung Piasau-Kampung Tambulion," katanya.

Katanya, bacaan terkini paras Sungai Tempasuk dan Sungai Abai pada tahap bahaya iaitu mencecah 5.6 meter.

Sementara itu, keadaan banjir di Kota Marudu kembali pulih apabila 37 mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak jam 7 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 10:41 AM