OPS Lejang yang dijalankan polis di Taman Saujana, Pantai Remis di Manjung. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menahan dua remaja lelaki selepas didapati memiliki motosikal curi dalam Ops Lejang di Taman Saujana, Pantai Remis di Manjung semalam.

Operasi itu dijalankan empat pegawai dan 22 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Manjung, Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari, pada 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan bersama motosikal Modenas Kriss yang dipercayai motosikal curi.

"Dalam operasi yang dijalankan itu, kita memeriksa seramai 38 individu yang kebanyakannya adalah golongan remaja dan turut diperiksa 36 motosikal.

"Daripada jumlah itu kita menahan kedua-dua remaja berkenaan dan hasil pemeriksaan dipercayai motosikal itu adalah motosikal curi manakala nombor enjinnya sudah diubah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada operasi itu, turut mengeluarkan sebanyak 36 saman trafik atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 3:44 PM