Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengarahkan Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADL)

melakukan siasatan segera berhubung video yang tular mengenai ajaran satu kumpulan persilatan di Pulau Dayang Bunting, di sini.

Pengarah JHEAIK Datuk Abdul Rahman Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada ajaran itu menyalahi sesat atau sebaliknya.

“Siasatan masih berjalan dan kita belum dapat mengesahkan sama ada menyalahi agama Islam atau tidak.

“Biar kita jalankan siasatan dahulu dan saya akan memberi kenyataan penuh minggu depan berhubung ajaran itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menasihati umat Islam di negeri itu supaya tidak mudah terpengaruh serta terpedaya dengan sebarang ajaran yang menyimpang dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Harian Metro 11 Oktober lalu, melaporkan Jabatan Mufti Negeri Kedah mengarahkan siasatan video tular mengenai ahli kumpulan persilatan tertentu di Langkawi yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu.

Sehubungan itu Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengarahkan JHEAIK melakukan siasatan berhubung ajaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 8:29 PM