ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran sisa tandan sawit di Kilang Sawit FELDA Sungai Tengi.
HM Digital

Kuala Kubu Bharu: Bomba berjaya memadamkan kebakaran longgokan sisa tandan kelapa sawit seluas 0.4 hektar di kilang FELDA Sungai Tengi, di sini, yang terbakar hampir 24 jam sejak petang kelmarin.

Kebakaran itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang dan operasi pemadaman dilakukan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya sebelum diteruskan oleh BBP Kuala Kubu Bharu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie berkata, seramai lapan anggota bomba dengan kerjasama tujuh pekerja kilang itu berusaha memadamkan kebakaran.

“Selain jentera bomba, dua jengkaut digunakan dalam operasi awal yang dijalankan sehingga jam 7 malam semalam (kelmarin).

“Operasi pemadaman disambung semula jam 11 pagi hari ini (semalam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.45 petang. Keadaan pulih sepenuhnya dan tiada kelihatan asap atau punca api,” katanya di sini, semalam.

Kata Rosdi, hasil perbincangan dengan pengurusan kilang bersetuju menamatkan operasi pada jam 3.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:49 AM