Mohammad Aidil Adha (tengah) meraikan kegembiraan bersama ibu, Zuraida Zakaria dan bapanya, Azizul Rozany Abdul Aziz.
HM Digital

Shah Alam: Walaupun memperoleh keputusan kurang memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia bukan alasan bagi graduan ini untuk kembali bangkit menebus kesilapannya yang lalu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan, Mohammad Aidil Adha Azizul Rozany, 24, berkata, dia bersyukur menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) dan kini bekerja di syarikat pengauditan dan cukai antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat.

Menurutnya, dia mengakui dirinya ‘nakal’ dan sering ponteng kelas ketika belajar di sekolah menengah berikutan terlalu taasub dengan permainan video dalam talian.

“Namun, cikgu sejarah saya, Puan Sugarneswary menasihatkan betapa pentingnya untuk saya lulus dalam SPM nanti.

“Kata-katanya itu membuatkan saya berfikir hampir seharian dan mula belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan walaupun keputusan saya hanya sekadar ‘cukup makan’,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-87 di sini, kelmarin.

Kata Mohammad Aidil, dia turut ditawarkan pekerjaan selepas tamat latihan industri di syarikat berkenaan berikutan komitmen yang ditunjukkan selama enam bulan.

“Dalam tempoh enam bulan itu, saya tidak menganggap diri menjalani latihan praktikal, namun terus menunjukkan komitmen kerja yang tinggi.

“Saya menggunakan segala ilmu, kemahiran dan latihan yang diajar pensyarah ketika latihan industri,” kata anak sulung daripada lima beradik berasal dari Gombak, Selangor itu.

Menurutnya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.53, resipi kejayaannya itu hasil perkongsian imu dengan rakan sekuliah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:04 AM