IDRIS bergambar bersama pelajar UNIMAS selepas merasmikan Persidangan Jubli Perak UNIMAS di Kuching.
Mohd Latif Ahmad
am@hmetro.com.my


Kuching: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi universiti pertama di negara ini yang mengguna pakai aplikasi bacaan kod Respons Pantas (QR) sebagai pengenalan penuntut di kampus.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pendekatan yang digunakan UNIMAS itu harus dipuji kerana ia menunjukkan komitmen universiti terhadap perkembangan teknologi.

“Hanya UNIMAS yang menggunakan kad pengenalan penuntut secara digital menggunakan kod QR.

“Ia satu perubahan yang boleh dibanggakan dan saya ingin melihat lebih banyak universiti melaksanakan pengenalan digital seperti ini untuk penuntut,” katanya selepas merasmikan Persidangan Jubli Perak UNIMAS 2017 di sini, semalam.

Idris berkata, melalui pengenalan kod QR, penuntut hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk mengesahkan identiti mereka ketika berada dalam kampus.

“Penggunaan kod QR juga akan memudahkan penuntut untuk urusan mereka ke perpustakaan universiti, kuliah dan menggunakan apa saja kemudahan universiti,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, penggunaan kod QR di kampus UNIMAS pada masa ini masih terhad.

Katanya, ia akan diperluaskan kepada semua penuntut dan kakitangan universiti dari semasa ke semasa.

“Kami juga merancang memperluaskan penggunaan kod QR ini untuk tujuan lain termasuk membeli-belah di kampus dan membuat bayaran kepada peniaga dan restoran di kampus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:09 AM