Norasikin Daineh


ADIK kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Hamid Apdal dibebaskan hari ini selepas ditahan reman berhubung kes penyelewengan dana diperuntukkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berjumlah RM1.5 bilion.

Hamid, 52, seorang ahli perniagaan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam prosiding di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie yang dijalankan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Prosiding terpaksa dijalankan di hospital kerana Hamid masih menerima rawatan.

Stephanie turut memerintahkan Hamid membayar ikat jamin RM50,000 dengan deposit RM25,000 melalui dua penjamin.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin manakala Hamid diwakili Martin Tommy dan Hamid Ismail.

Sebelum ini, Hamid direman lima hari bermula 11 Oktober lalu sebelum disambung semula pada 16 Oktober dan tempoh reman sepatutnya tamat esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, di sebuah hospital swasta berasingan, menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, 33, yang ditahan reman pada 16 Oktober lalu turut dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh majistret yang sama.

Manzur diperintah membayar ikat jamin RM30,000 bersama dua penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Setakat ini, SPRM sudah menahan sembilan individu di Sabah dan Putrajaya termasuk lima ahli politik, tiga ahli perniagaan serta seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Di Sabah, selain Hamid dan Manzur, individu lain yang turut ditahan reman adalah Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46; Ketua Wira parti itu Datuk Mohd Azis Jamman, 43; Ketua Penerangan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar, 43; Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang lagi ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52.

Seorang lagi adik Mohd Shafie, Mohd Yusof Apdal, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu juga ditahan reman.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian Persekutuan turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, lapan daripada individu yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri ini antara 2009 hingga 2015.

Hamid direman 5 hari

Adik Shafie Apdal ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 11:32 AM
Hamid (tengah) yang dibebaskan daripada tahanan reman dibawa keluar dari sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin