SITUASI trafik di Jalan Pantai selepas kemalangan. FOTO Ihsan Facebook Peon JB
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI maut selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai berhampiran Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi itu, mangsa, Tiyu Kok Keong, 42, yang berasal dari Pekan Nenas, Pontian, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, sebelum kejadian, pemandu Proton Wira, iaitu lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Permas Jaya.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, Proton Wira terbabit bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang datang dari arah Permas Jaya menuju ke pusat bandar sebelum berpusing dan melanggar motosikal mangsa.

"Mangsa yang dikatakan dalam perjalanan ke Singapura kerana bekerja di sana, cedera parah pada kepala dan disahkan maut di tempat kejadian," katanya.

Menurut Shahurinain, kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Proton Wira luka pada mata serta muka dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pemandu Perodua Axia, wanita berusia 30 tahun, bagaimanapun selamat dan tidak cedera.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:37 PM