Keadaan rumah yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Keadaan rumah yang terbakar. FOTO ihsan bomba

 

Amrullah Abdul [email protected]

 

LELAKI berusia 50 tahun yang sesak nafas kerana terhidu asap berjaya diselamatkan anggota bomba dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Seksyen BB7, Bukit Beruntung 4.30 petang hari ini.

Mangsa, S Rajasegaran dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk menerima rawatan lanjut

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, kebakaran tiga rumah teres termasuk kediaman mangsa itu membabitkan bilik di tingkat atas dan bumbung.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.48 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati tiga rumah terbakar di tingkat atas sehingga ke bumbung. Bilik satu daripada rumah itu musnah sepenuhnya, manakala dua lagi rumah bersebelahan terbakar 20 peratus pada bumbung.

"Kita turut menyelamatkan seorang lelaki yang sesak nafas," katanya memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 7.22 petang.

Kata Kamil, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:02 AM