Ismail (tengah) bergambar bersama 28 peserta ‘Road to Annapurna Base Camp (R2ABC)’ sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sepang hari ini. FOTO Aisyah Sukaimi
Siti A'isyah Sukaimi


SERAMAI 28 pendaki dari Pertubuhan Nadi Sihat akan menyertai ekspedisi menawan Kem Induk Annapurna, Nepal pada ketinggian 4,130 meter menerusi program ‘Road to Annapurna Base Camp’ (R2ABC) bermula Ahad ini.

Peserta yang berusia 24 hingga 57 tahun itu diketuai Ahli Kehormat Pertubuhan Nadi Sihat Mohd Faizal Shamsudin merangkap ketua misi dan mereka dijangka tiba ke kem berkenaan pada 26 Oktober.

Pengerusi Pertubuhan Nadi Sihat Datuk Ismail Kijo berkata, ekspedisi itu satu daripada aktiviti besar pihaknya dalam membantu kerajaan mempromosikan gaya hidup sihat.

“Kita melaksanakan pelbagai program sihat seperti senaman, berbasikal serta pendakian gunung yang menjadi aktiviti wajib pertubuhan ini dan setakat ini, sudah tiga kali aktiviti mendaki Gunung Kinabalu diadakan.

“Mereka yang menyertai ekspedisi kali ini mempunyai pengalaman mendaki gunung dan kita harap misi ini berjalan lancar manakala peserta sihat dan selamat sepanjang misi,” katanya ditemui pada majlis pelepasan peserta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, hari ini.

Seorang pendaki yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi, 24, berkata, walaupun kehilangan kaki kiri hingga paras betis dan terpaksa menggunakan kaki palsu, ia tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan pendakian berkenaan.

“Saya kehilangan kaki akibat kemalangan kira-kira lima tahun lalu ketika menunggang motosikal dan insiden itu turut memutuskan semangat saya. Namun, selepas melihat kembali gambar kegembiraan berada di puncak gunung bersama rakan pendaki lain, ia memberi perubahan kepada diri, sekali gus menyebabkan saya kembali melakukan aktiviti ini.

“Untuk pendakian kali ini, saya mengakui pergerakan agak terbatas, namun akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Mohd Faizal berkata, persediaan rapi sudah dibuat, malah mereka sering melakukan pendakian sebagai latihan setiap dua minggu termasuk di Gunung Kinabalu.

“Menariknya, 14 daripada 28 pendaki sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti mendaki gunung dan mereka bermula dengan program riadah seperti berjalan kaki anjuran pertubuhan ini.

“Seterusnya, mereka memulakan aktiviti lain seperti mendaki bukit sebagai acara menyihatkan badan dan kesihatan, sekali gus diteruskan sehinggalah mendaki gunung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:16 PM